Sabtu, Jun 06, 2015

Tuk Nabalu dan Si Tahu-tahu

TEKS : NORUDIN DRAMAN
FOTO : NORUDIN DRAMAN
(Entry #44)




الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُمْ مُصِيبَةٌ
قَالُوا إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ

(Iaitu) orang-orang yang apabila 
ditimpa musibah, mereka mengucapkan:
“Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji’uun”
- sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-NYA kami kembali.

(Al-Quran, surah Al-Baqarah, ayat 156)

Pagi semalam, Jumaat bertarikh 5 Jun 2015; negara kita Malaysia dikejutkan dengan khabar duka. Khabar bencana gempa bumi yang melanda negeri Sabah. Negeri yang kita gelar sebagai Negeri Di Bawah Bayu.

Waktu berlaku bencana seperti ini merupakan kesempatan untuk kita mendidik anak dengan kesedaran tentang kekuasaan Allah SWT dan tentang hidup dan mati kita sebagai manusia.

Insya Allah, dalam entry ini saya berkongsi sedikit panduan untuk kita bercerita tentang musibah dan bencana kepada anak-anak. Semoga, anak-anak kita membesar menjadi insan yang prihatin, yang selalu ingat kepada musibah dan kematian dan selalu sedar dengan kekuasaan dan kebesaran Allah SWT.

1. Ajar anak ayat 156 dalam surah Al-Baqarah

Ketika mendengar berita kematian dan musibah, ajarkan anak tentang ayat 156 dalam surah Al-Baqarah. Juga, biasakan anak mengucapkan:

إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ
“Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji’uun”
(Sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-NYA kami kembali)


Tanamkan dalam diri anak tentang kekuasaan Allah untuk melakukan apa sahaja. Dalam masa sama, bentuk kepercayaan anak bahawa setiap perkara yang berlaku ada hikmahnya. Semenjak usia awal anak kita bentuk dengan sifat reda, berani, sabar dan mencari hikmah di sebalik setiap kejadian.
(Saya dan adik bongsu kesayangan di Gunung Kinabalu pada tahun 2013)
2. Tuk Nabalu dan Si Tahu-tahu

Dalam masyarakat Brunei ada istilah 'Si Tahu-tahu', iaitu gelaran yang diberikan kepada orang yang suka menunjuk pandai dan tidak mahu kalah. Setiap apa yang kita cerita, dia tidak pernah tidak tahu. Semuanya dia tahu, lalu mendapat gelaran 'Si Tahu-tahu'. Hehe J

Dalam mendidik anak, kita tidak boleh menjadi 'Si Tahu-tahu'. Namun, kita perlu tahu mengolah pengetahuan yang mudah-mudah tetapi menarik bagi anak. Malah, bukan sahaja menarik perhatian anak; infomarsi dan pengetahuan kita yang 'mudah-mudah sahaja' boleh membantu kita dalam mendidik anak-anak. Insya Allah.

Contohnya, dari petikan berita ini:
Gempa bumi sederhana bermagnitud 5.9 pada skala Richter berlaku di Ranau, Sabah pada 7.15 pagi ini. 
Pusat Gempa Bumi dan Tsunami Nasional dalam kenyataan berkata, gegaran dirasai di kebanyakan tempat di Sabah termasuk Ranau, Tambun, Pedalaman, Tuaran, Kota Kinabalu dan Kota Belud.
Paling tidak kita dapat bercerita kepada anak tentang pengetahuan yang mudah-mudah seperti tentang geografi (bahagian dan daerah di negeri Sabah), apa itu skala, apa itu richter apa itu magnitud apa itu gempa dan lain sebagainya yang mudah-mudah tetapi merupakan ilmu berharga kepada anak kita.

(Saya di pekan Nabalu yang terletak di kaki Gunung Kinabalu)
3. Boleh ceritakan kisah dongeng kepada anak tetapi dengan syarat....

Tidak salah untuk kita menceritakan kisah dongeng kepada anak. Contohnya dongeng tentang asal usul nama Gunung Kinabalu. Diceritakan bahawa nama Kinabalu itu adalah berasal dari nama Aki (datuk) dan Nabalu (nama sebuah pekan di kaki Gunung Kinabalu.

Kanak-kanak suka cerita dongeng. Alangkan cerita dongeng kanak-kanak yang popular malah banyak yang berasal dari barat. Dongeng dan fantasi sebenarnya membangunkan jiwa dan minda anak-anak. Di dalam Al-Quran juga ada kisah-kisah yang melangkaui logik manusia contohnya kisah pemuda Al-Kahfi.

Pun begitu, ketika menceritakan kisah dongeng kepada anak; jangan lupa beritahu anak bahawa kenyataannya dongeng adalah fantasi yang tidak benar. Melainkan cerita-cerita dalam Al-Quran. Hasilnya, kita bukan sahaja tidak menyekat naluri kanak-kanak yang suka kepada dongeng dan fantasi; malah kita memberi anak input yang lebih baik.

Insya Allah, dengan cara yang betul dan baik; apa sahaja peristiwa yang berlaku di seluruh dunia boleh kita kaitkan dengan pendidikan anak. Sekurang-kurangnya, dari musibah yang melanda negeri Sabah, kita dapat;
1. Mendidik kecerdasan alam dan manusia kepada anak.
2. Mendidik kecerdasan wujud dalam diri anak iaitu kewujudan Allah SWT Yang Maha Kuasa, adanya hidup selepas mati dan adanya bahaya dan musibah di bumi ini.
3. Membentuk kecerdasan sosial dalam diri anak dengan melatih anak mengambil tahu kesusahan orang lain. Apatah lagi bencana yang berlaku adalah dalam negara kita sendiri.
(*Tiga kecerdasan di atas adalah daripada senarai lapan kecerdasan yang perlu kita didik dalam diri kanak-kanak menurut Howard Gardner, seorang tokoh pendidikan kanak-kanak di Harvard Universiti di Amerika Syarikat - 1988).

Tiada ulasan: