Isnin, Mei 25, 2015

Teknik MAK untuk Didik Anak Hafal Quran

TEKS : NORUDIN DRAMAN
FOTO : NORUDIN DRAMAN
(Entry #25)




Teknik MAK untuk
Didik Anak Hafal Quran
M - Masukkan Hafalan
- masukkan hafalan semasa anak tidur 
(kaedah hipnosis)

A - Aktifkan Hafalan
- aktifkan hafalan ketika anak jaga. 
(Ibu dan anak menghafal bersama 
dan sama-sama hafal)

K - Kekalkan Hafalan
- kekalkan hafalan dengan sesi tasmik 
dan kaitkan ayat hafalan dalam 
aktiviti seharian bersama anak



Dalam entri ini, saya kongsikan cara guna Teknik MAK untuk Didik Anak Hafal Quran. Contohnya kita mahu anak hafal ayat 24 dalam Surah Al-Isra.



~" Hafal 24 Surah Al-Isra "~
Doa Untuk Ibu Bapa
Firman Allah SWT:
وَاخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ الذُّلِّ مِنَ الرَّحْمَةِ وَقُلْ رَبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا
"Dan rendahkan dirimu terhadap kedua-duanya (ibu bapa) dengan penuh kasih sayang dan ucapkan; 'Wahai Tuhanku, sayangilah kedua-duanya sebagaimana mereka berdua telah menyayangi aku pada waktu kecil'."

(Al-Quran, Surah Al-Isra : Ayat 24)


M - Masukkan Hafalan



Masukkan hafalan ke dalam minda bawah sedar anak semasa anak sedang tidur. Ketika sedang tidur otak anak sedang berada dalam fasa gelombang alfa dan gelombang theta. Fasa otak dengan gelombang ini juga dikenali sebagai 'fikiran bawah sedar'. Menurut pakar perkembangan otak kanak-kanak, fasa gelombang alfa dan theta merupakan fasa di mana kanak-kanak belajar dengan cepat dan mudah menerima nasihat dan arahan yang diberikan kepada mereka.

Berapa kali proses ini dilakukan? 40 kali adalah yang terbaik. Kata guru Al-Quran saya dulu jika baca 40 kali satu ayat, sebenarnya ayat itu sudah masuk otak (minda bawah sedar). Bukan bermaksud 40 hari ya. Jika waktu anak tidur boleh baca 10 kali, 4 malam sudah 40 kali. 

* Walaupun ini bukan fakta dari kajian saintifik, namun saya 'yakin' kepada guru Al-Quran saya yang merupakan seorang hafiz Al-Quran itu.

A - Aktifkan Hafalan


Aktifkan hafalan ketika anak jaga. Aktifkan hafalan adalah sesi menghafal yang khusus. Sesuai dibuat selepas solat subuh selama 10 hingga 15 minit. Selepas 20 minit minda anak mula 'lari'. 

Potong ayat kepada perkataan pendek dan baca tujuh kali sambil anak menghafal (aktifkan hafalan). Contoh:

وَاخْفِضْ لَهُمَا  | جَنَاحَ الذُّلِّ |  مِنَ الرَّحْمَةِ |  وَقُلْ رَبِّ ارْحَمْهُمَا |  كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا

Satu sesi lagi dalam langkah aktifkan hafalan ialah sesi memperkukuhkan hafalan. Sesi ini sesuai dilakukan pada waktu malam. Ulang hafalan yang dihafal oleh anak subuh tadi; betulkan yang salah dan tambah yang kurang.


K - Kekalkan Hafalan


Kekalkan hafalan dengan sesi tasmik dan kaitkan ayat hafalan dalam  aktiviti seharian bersama anak. Selain sesi khusus (contohnya lepas solat) untuk semak ulang (tasmik) hafalan anak; ibu juga boleh uji hafalan anak pada waktu lain.

Contohnya, ketika anak mahu keluar kereta masa ibu menghantar anak ke sekolah. Anak mahu salam tangan ibu dan cium ibu tetapi ibu tahan dulu. Ibu cakap kepada anak;

"Sebelum ibu lepaskan anak ibu ke sekolah, 
ibu nak anak ibu doakan ibu dulu dengan ayat Al-Quran"

Anak jawab dengan berdoa menggunakan hafalan ayat 24 surah Al-Isra dalam contoh kita ini.

Contoh lain lagi untuk mengaitkan hafalan dengan kehidupan seharian; katakan anak tidak mahu disuruh oleh ibu untuk membuat sesuatu. Contohnya ibu minta anak susun kasut di almari kasut. Anak beralasan dan bertangguh. Ibu cuba bersabar dulu (sambil dalam hati kata, 'Ai chobaan, ini semua chobaan'. Hehe). Sentuh anak dan ingatkan anak dengan ayat hafalan ini dan terjemahannya. 

Insya Allah, kaedah komunikasi yang penuh kasih sayang bukan sahaja membuatkan anak melakukan tugas yang diberi tapi akan membentuk peribadi anak ketika dia membesar nanti.

Tiada ulasan: