Isnin, Mei 11, 2015

Salam Perkenalan

TEKS : NORUDIN DRAMAN
FOTO : NORUDIN DRAMAN
(Entry #1)



Dengan Nama Allah.

Assalamu'alaikum 
wa rahmatullahi wabarakatuh.


Nama saya Norudin bin Draman. Lahir pada 16 Ogos 1980 bersamaan 4  Syawal 1400 Hijrah. Saya lahir di sebuah daerah yang pada masa itu kecil. Daerah Bintulu dalam negeri Sarawak, Malaysia. Kini, daerah Bintulu merupakan sebuah bandar perindustrian yang pesat. Saya merupakan anak sulung kepada ibu dan ayah saya. Dua insan paling istimewa dan berharga dalam hidup saya dunia akhirat hingga syurga, Insya Allah. Allahumma amin. Amin ya Rabb al-Alamin. 


Dengan rendah hati dan perasaan hormat, saya menjemput para ibu dan suri ummah yang membaca blog ini, untuk:
1. Jemput 'like' dan 'follow' fanpage Facebook 'Mari Kita Mengaji Sayang' di facebook.com/tolongsemakbacaansaya.

2. Jemput sertai grup Al-Quran interaktif 'Tolong Semak Bacaan Saya' di facebook.com/groups/tolongsemakbacaansaya.

3. Jemput hantar rakaman bacaan Al-Quran anak-anak puan kepada saya untuk disiarkan di page Facebook 'Mari Kita Mengaji Sayang' dan grup Facebook 'Tolong Semak Bacaan Saya'. Insya Allah, saya akan semak dan komen bacaan anak-anak puan. Mungkin juga, ada rakan-rakan Facebook lain yang bermurah hati untuk menyemak dan komen bacaan anak-anak Puan.

Semoga apa yang kita lakukan di Facebook untuk anak-anak, bermanfaat dan berkat serta dipandang sebagai ibadah oleh Allah (SWT). Amin Ya Rabb Al-Alamin.

Facebook Fanpage: facebook.com/tolongsemakbacaansaya

Facebook Group: facebook.com/groups/tolongsemakbacaansaya

Pendidikan

Saya kira zaman kanak-kanak saya tamat pada tahun 1993 selepas saya habis darjah enam di Sekolah Rendah Orang Kaya Mohammad. Sekolah rendah tempat yang sama mak dan ayah saya bersekolah rendah dan merupakan sekolah Inggeris Melayu pertama dibuka penjajah di  Bintulu, Sarawak. Alhamdulillah, zaman kanak-kanak saya berakhir dengan mendapat keputusan 3A 1B dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Keputusan itu melayakkan saya menerima biasiswa Petronas sehingga saya Tingkatan Tiga.

Zaman awal remaja saya lalui selama tiga tahun di Sekolah Menengah Baru Bintulu, Sarawak. Sekolah menengah ini terletak dalam perkampungan nelayan di Bintulu yang dipanggil Kampung Baru Bintulu. Saya bersekolah di sini bermula di Tingkatan Satu pada tahun 1994 sehingga Tingkatan Tiga pada tahun 1996. Alhamdulillah, saya lulus dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Namun, keputusan PMR saya tidak melayakkan saya untuk terus mendapat biasiswa Petronas sehingga Tingkatan Lima.

Bagaimanapun, dengan keputusan PMR saya yang sederhana itu, saya masih boleh masuk kelas aliran sains dengan elektif Lukisan Kejuruteraan. Namun, saya ambil keputusan untuk kekal di kelas aliran sastera dengan subjek elektif Ekonomi Asas, Sejarah dan Kesusasteraan Melayu. Saya bersekolah Tingkatan Empat dan Tingkatan Lima di Sekolah Menengah Kerajaan Bintulu, Sarawak. Saya menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 1998. Alhamdulillah, saya lulus SPM dengan agreget yang 'cukup-cukup makan' untuk dapat gred 1.

Selepas SPM, saya tidak terus 'sambung belajar' di Institut Pengajian Tinggi. Alhamdulillah, orang tua juga tidak mendesak. Seingat saya, dua tahun selepas tamat tingkatan lima saya bekerja dengan niat 'belajar dalam kehidupan'. Mula saya kerja jadi attendan pam minyak di stesen Shell. Tidak lama, ada dua kali dapat gaji waktu tu RM450. (Nanti kisah pengalaman kerja sambung di bawah).

Pada tahun 2000, saya berhijrah ke Kuching, Sarawak. Waktu itu saya sertai 'Kursus Asas Dakwah' dan persediaan bahasa Arab untuk pelajar bukan dari aliran agama. Tempatnya di Pusat Latihan Dakwah (PLD HIKMAH), Serian, Kuching, Sarawak.

Pendidikan formal saya tidak jauh dan tinggi. Dari PLD HIKMAH saya ke Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak (IKMAS). Sebuah institusi pendidikan milik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Di IKMAS saya mengikuti kursus Diploma Pengajian Islam dan Dakwah. Di IKMAS juga, kami setiap pelajar diwajibkan mengambil satu sijil kemahiran. Saya ambil sijil 'Kemahiran Pemprosesan Makanan'.

Pengalaman kerja

(Sambung kisah saya kerja di stesen Shell tadi) 

Lepas bulan kedua saya kerja sebagai 'pam minyak', saya dapat kerja sebagai guru Al-Quran di sebuah sekolah agama rakyat. Sekolah agama rakyat satu-satunya di Bintulu waktu itu, iaitu Madrasah Al-Islamiyyah Darul Ulum (MADU). Jadi guru di MADU automatik jadi guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA). Seakan-akan MOU yang tidak bertulis untuk menambah gaji guru MADU dijadikan guru KAFA di Sk Orang Kaya Mohammad Bintulu.

Semasa menuntut di IKMAS juga, waktu cuti saya mengajar KAFA sebagai guru ganti. Sehingga tahun 2011, saya menjadi guru KAFA. Cuma pernah 'berhenti' setahun dua tahun. Pengalaman kerja saya hanya berkisar bidang pendidikan sebagai 'guru tidak terlatih'. Saya juga pernah jadi guru pengganti, guru tadika Al-Quran, guru tusyen dan guru takmir masjid dan surau sebelum saya  berhijrah ke Negara Brunei Darussalam.

Saya berhijrah ke Brunei pada tahun 2012 setelah diterima sebagai Guru Al-Quran di Sekolah Nusa Laila Puteri, Negara Brunei Darussalam.

Minat, kemahiran dan kepakaran

Ditanya tentang kemahiran dan kepakaran, saya malu-malu dan serba salah untuk memberi jawapan. Hehe. Sebab saya belum mahir dan belum pakar. Namun, jika ditanya tentang minat, Insya Allah saya boleh jawab dengan jujur dan lancar.

Saya minat bidang pendidikan awal kanak-kanak (sebab saya suka zaman kanak-kanak dan suka kepada kanak-kanak). Malah, murid-murid mudah mesra dan manja dengan saya.

Saya juga minat bidang penulisan, komputer, muzik dan perniagaan. Juga, saya boleh memasak sikit-sikit sekadar untuk makan saya sendiri atau untuk menjamu mak ayah, adik-adik, saudara mara dan sahabat handai yang sudi menjamah masakan saya.

Selain itu, saya ada sedikit pengalaman dalam bidang pengucapan awam. Alhamdulillah, sejak jadi guru agama rakyat (selepas SPM), saya berpeluang menimba pengalaman bercakap di depan khalayak. Saya pernah jadi khatib yang menyampaikan khutbah, jadi penceramah, penyampai tazkirah agama dan menyampaikan ceramah motivasi di sekolah menengah dan Universiti Putera Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB). 

Pengalaman bisnes

Alhamdulillah. Saya minat bisnes sejak saya kanak-kanak lagi. Minat ini berkembang kerana ibu  saya sendiri adalah peniaga kuih muih dari rumah. Ibu buat kuih dan penjual ambil dari rumah kami. Penjual yang jual dengan ambil komisyen. Sejak kanak-kanak saya bantu ibu dan ayah dalam bisnes kuih mereka. Sebenarnya ayah juga dikira sebagai pembantu dalam bisnes ibu sama seperti saya. Ayah saya merupakan kakitangan rendah dalam kerajaan. Kemudian sejak saya tingkatan satu, saya selit bisnes sendiri dalam bisnes mak. Saya buat sosej goreng dan roti sosej.

Selepas SPM, sambil jadi Guru Agama Rakyat (GAR) dan guru KAFA, saya juga ada gerai burger berhampiran madrasah tempat saya mengajar. Saya upah kawan-kawan yang 'adik' daripada saya yang mahu cari duit tambah lepas balik sekolah. Kami jual burger, kuih muih ibu saya, minuman dan makanan ringan. Balik dari Kuching selepas menuntut di IKMAS, saya sekali lagi buka gerai jualan di tepi jalan. 

Kemudian saya dapat kepercayaan untuk bersama dalam tim pengurusan Pusat Tusyen Prestine Perdana, yang terletak di Bangunan MARTABAT, Bintulu, Sarawak. Waktu itu juga Alhamdulillah, saya juga bekerjasama dengan pusat jagaan kanak-kanak SEDIDIK. Kami buat pakej tambahan 'belajar mengaji' untuk anak-anak yang dihantar ke SEDIDIK. 

Namun Pusat Tusyen Prestine Perdana ini hanya beroperasi dari tahun 2006 hingga tahun 2008 kerana masalah pengurusan 'pihak yang lebih di atas'.

Rebah Pusat Tusyen Prestine Perdana, saya cuba buka kelas mengaji saya sendiri namun tidak berjaya kerana faktor perlesenan dan modal.

Buku yang suka dibaca

Saya suka membaca buku genre motivasi, pemasaran, pendidikan dan novel. Sehingga kini, berikut adalah sebahagian dari senarai buku yang kerap saya baca ulang:
1. Buku '7 Keajaiban Rezeki' ditulis oleh Ippho Santosa. Buku saya beli dari Indonesia pada tahun 2012. 
2. Buku 'Saya Tidak Mahu Kaya tetapi Harus Kaya' ditulis oleh pendakwah Indonesia Aa Gym. Mula saya pinjam versi asal dari kawan yang habis menunut di IAIN, Surabaya, Indonesi. Kemudian saya beli edisi terjemahan di Malaysia.
Senarai buku non-fiksyen yang saya kerap rujuk:
1. Cari Duit CAra Mudah Sebagai Penulis Bebas, Zamri Mohamad, PTS. 
2. Tip Menjadi Penulis BEstseller, Zamri Mohamad, PTS. 
3. Menjadi Penulis Jutawan, Nimoiz T Y, Trueweath Publishing. 
4. Dunia Ini Penuh Wang, Razzi Armansur, PTS. 
5. Bercinta Sampai Syurga, Hasrizal Abdul Jamil, Galeri Ilmu.
Ebook yang kerap saya rujuk sehingga kini cuma dua:
1. Blog Profits oleh Yaro Starak. 
2. Secret of Ebay Millionaires oleh Benjamin Marc Wee.
Beberapa novel yang saya sudah baca lebih dari dua kali pula ialah:
1. Siri Harry Potter, JK Rowling (baca pdf yang dapat dari internet).  
2. Ketika Cinta Bertasbih, Habiburrahman El-Sirozi (baca pdf yang dapat dari internet).  
3. Laskar Pelangi, Andrea Hirata (baca pdf yang dapat dari internet)  
4. Novel-novel yang saya beli atau baca sekali sahaja banyak, rasanya mungkin tidak perlu disenaraikan di sini.
Pengalaman menulis blog dan buku

(Blogger Norudin Draman UstazCahaya bersama buku sulung.
Gambar kenangan bersama-sama Ustaz Zulkifli Rafaie - Penyelia KAFA Bintulu,
Ustaz Safuan - Penyelia Pusat Islam Universiti Putera Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB)
- foto kenangan hari raya Eidul Fitri tahun 2010)
Saya menulis di www.ustazcahaya.com bermula pada tahun 2009. Kemudian hilang dan sekarang berazam mahu muncul menulis kembali di blog tersebut. Alhamdulillah, post-post di blog yang saya namakan 'Jurnal Online UstazCahaya' itu pernah saya olah menjadi sebuah buku. Syukur Alhamdulillah, buku itu terbit di bawah anak syarikat Karangkraf pada tahun 2010; dengan judul 'Reformat Hatimu Dalam 354 Hari' (sempena Ramadan tahun 2010). 

Sebenarnya, Puan Masayu Ahmad (pengasas ABDR - Akademi Bekerja di Rumah) yang membimbing saya dahulu dalam bidang penulisan buku. Puan Masayu yang mengajar dan memberi saya panduan bagaimana mahu rancang penulisan buku, buat senarai bab dan memilih post dalam blog untuk dijadikan buku. Sekali lagi saya ucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Puan Sifu Kak Masayu Ahmad.
(Antologi Cerpen Adiwarna III : Cinta Pertama, terbitan JS Adiwarna, November 2014)
Setelah sekian lama berlalu, sekali lagi saya mohon berguru dengan Puan Masayu dalam akademi yang diasaskan oleh beliau iaitu Akademi Bekerja di Rumah (ABDR). Kali ini berguru dengan anak didik beliau pula, iaitu Puan Guru Anys Idayu Zakaria.
(Cerpen 'Mari Kita Mengira Sayang' oleh Norudin Draman UstazCahaya
dalam buku Antologi Cerpen Adiwarna III : Cinta Pertama, terbitan JS Adiwarna, November 2014)
Matlamat untuk kelas ini

Saya menyertai kelas 'Kelas Asas Blog dan Fanpage Bisnes' ini dengan niat berguru dan menimba ilmu dengan cara yang sah dan halal.Saya juga berharap, semoga dalam kelas ini saya dapat belajar ilmu-ilmu berharga dalam dunia blogging dan dunia keusahawanan internet. 

Pada pandangan saya sebagai orang biasa, saya melihat ABDR sebagai sebuah komuniti besar dan berwibawa dalam bidang berkaitan bisnes, kerja dari rumah, blog dan penerbitan ebook.

Harapan saya juga, dengan menyertai kelas ini, saya berada dalam 'bulatan (lingkungan) yang betul dan positif' bersama para blogger dan para penggiat industri kerja dari rumah di Malaysia. 

Sebenarnya, saya rasa 'segan-segan' dan 'malu-malu' kerana, komuniti besar ini dikuasai oleh kaum jantina yang berbeza dengan saya; iaitu kaum Hawa. Kaum yang saya hormati kerana merupakan kaum yang sama dengan ibu yang melahirkan saya dan membesarkan saya.

Insya Allah, untuk jangka panjang, saya harap ada rakan-rakan yang boleh bersama saya menghasilkan buku fizikal atau ebook. Saya ada beberapa idea, draf dan plan yang saya sudah simpan agak lama sejak tahun 2010. Kebanyakkannya adalah idea-idea penulisan dan buku berkaitan pendidikan awal kanak-kanak. Tentunya, rakan penulis bersama dari kaum hawa sangat sesuai untuk saya berusaha-sama.

Baik-baik menimba perahu,
Supaya jangan banyak airnya;
Datang hamba hendak berguru,
Mengharap ilmu dari gurunya.

Baik-baik menebang jati,
Biar serpih jangan tumbang;
Hamba biasa bukanlah Nabi,
Tentu hamba bersalah berkurang.

Biarlah orang bertanam buluh,
Hamba suka bertanam padi;
Biarlah orang bertanam musuh,
Semoga hamba bertanam budi.


Salam Perkenalan
dan Salam Blogosfera dari saya,


Norudin Draman UstazCahaya

Tiada ulasan: