Selasa, Mei 12, 2015

Patah Kaki Ketika Pergi Mengaji Al-Quran

TEKS : NORUDIN DRAMAN
FOTO : NORUDIN DRAMAN
(Entry #2)


(Saya bersama ayah dan adik lelaki
dalam Masjid Muhammad Jamalul Alam
di pekan Kuala Belait, Negara Brunei Darussalam.
Foto pada 25 ‎Disember ‎2014, jam ‏‎14:38:14)
Lihat kaki kiri saya dalam foto di atas. Nampak tidak kaki kiri saya ada sikit 'kelaianan'? Kaki kiri saya jadi begini kerana kemalangan jalan raya pada bulan Disember tahun 1987. Ketika itu saya berusia tujuh tahun. Saya lupa tarikh sebenar kemalangan itu, tetapi Insya Allah ayah saya ingat tarikh itu. Hendak saya bertanya kepada ayah atau ibu tarikh itu untuk ditulis dalam post ini, rasa tidak sampai hati pula saya, bimbang mereka risau atau berfikir yang bukan-bukan.

Saya dirawat di Hospital Umum Kuching, Sarawak, selama hampir dua bulan. Ayah ambil cuti tanpa gaji masa itu untuk menjaga saya. Ibu pula baru habis pantang selepas kelahiran adik lelaki saya yang dalam gambar di atas. Seingat saya, kemalangan itu berlaku satu bulan setengah selepas ibu melahirkan adik lelaki saya itu. Adik lelaki saya lahir pada 17 November 1987.

Patah Kaki Ketika Pergi Mengaji Al-Quran

(Saya pada tahun 1988. Di lapangan terbang Kuching)
Nenek saya dan arwah datuk saya adalah guru mengaji Al-Quran pertama saya. Mereka berdua juga adalah guru mengaji pertama ibu dan adik-beradik ibu. Nenek dan arwah datuk mengajar mengaji di rumah mereka. Pada tahun 1987, saya dan keluarga saya tinggal agak jauh dari rumah arwah datuk tetapi masih dalam satu kawasan perumahan yang sama. Cuma perlu melintasi sebatang jalan dua lorong dua hala antara rumah orang tua saya dan rumah arwah datuk (yang sekarang ini didiami nenek bersama adik bongsu ibu saya).

Waktu menyeberangi jalan itulah, saya dilanggar oleh sebuah lori pick-up yang membawa tong minyak hitam. Sungguh, satu detik dari memori itu tidak ada dalam ingatan saya. Semuanya hitam. Apa yang saya ingat ialah ketika saya sedar, hidung saya sudah dimasukkan hos getah dan dalam hos getah itu saya nampak makanan yang saya tahu itu adalah makanan dari perut saya yang saya makan sebelum kemalangan itu tadi. Tujuan dibuat begitu ialah supaya perut saya kosong untuk saya boleh dibius dan dibedah.

Lelaki Cina Yang Melanggar Saya Itu Lari

Pada masa kemalangan terjadi, saya bersama tiga orang sahabat zaman kanak-kanak saya. Dari apa yang mereka ceritakan, sebaik saya 'terlanggar', lelaki Cina yang memandu lori pick-up itu tadi terus melarikan diri bersama lorinya.

Rupa-rupanya, dia lari dan menyerah diri di balai polis berhampiran. Setelah dewasa baharu saya faham akan langkah ini. Untuk keselamatan, jika berlaku kemalangan seeloknya segera pergi ke balai polis berhampiran. Kemungkinan kita dicederakan oleh orang ramai sangat tinggi jika menunggu di tempat kejadian. Jangan pula langgar lari dan menghilangkan diri.

Alhamdulillah. Lelaki Cina itu sangat baik hati dan bertanggungjawab. Dia menanggung segala kos rawatan saya. Paling besar ialah kos penerbangan, kerana dia perlu membeli empat tempat duduk kapal terbang hanya untuk saya seorang. Sehingga setahun selepas kemalangan, dia selalu menziarahi saya dengan memberi wang dan buah tangan setiap kali dia datang melawat.

Kemudian kami terputus hubungan sehingga kini. Namun, saya selalu mendoakan lelaki Cina itu yang melanggar saya dahulu. Saya berdoa semoga dia mendapat hidayah sebelum kembali kepada Allah. Allahumma, Amin Amin Amin. Amin Ya Rabb al-Alamin.

(Ibu dan ayah saya ketika datang ke Brunei dan bercuti bersama saya.
Alhamdulilah, itulah kereta yang Allah masih
rezekikan sebagai kenderaan saya sehingga kini)
Alhamdulillah. Saya bersyukur untuk semuanya. Bersyukur dengan sedikit kelainan dan keistimewaan yang Allah beri kepada fizikal saya. Namun, Allah tetap merezekikan saya untuk mudah bergerak dan beraktiviti. Saya boleh menunggang basikal, menunggang motorsikal dan memandu kereta. Malah, motorsikal adalah kenderaan utama saya sebelum memiliki kereta sendiri.

Sejujurnya, kemalangan pada tahun 1987 itulah yang memaut hati saya kepada dunia belajar dan mengajar Al-Quran. Ia sesuatu yang sangat 'sentimental' sekali. Sukar untuk saya luahkan dalam bentuk perkataan. Bagi ibu saya juga begitu. Ibu selalu kaitkan Al-Quran dan kemalangan yang mengubah sedikit keadaan fizikal saya pada kaki sebelah kiri.

Mengenang kemalangan itu juga, saya belajar sifat sabar dan reda yang ada pada ibu dan ayah saya. Betapa pada masa itu kami adalah 'orang susah'. Namun, seperti kata orang tua saya selalu kepada saya; 'jika kita baik, Insya Allah setiap susah kita akan dibantu Allah'.

Saya mengaku, saya belum menjadi anak yang benar-benar baik. Pun begitu, setiap kali saya bersalah kepada orang tua saya, saya tidak mengambil masa yang lama untuk sedar dan insaf. Dari situ saya belajar 'mendidik anak dengan kasih sayang'.

Kasih sayang tidak semestinya lembut dan manja setiap masa. Ada masa kasih sayang itu berbuah yang 'keras'. Kasih sayang itu dalam hati. Susah untuk saya menterjemahkannya. Namun saya percaya anda yang membaca ini, yang sudah memiliki zuriat sendiri tentu memahaminya; lebih dari kefahaman saya yang masih bujang ini.

Tiada ulasan: