Rabu, Mei 13, 2015

Bicara Bangun Tidur: Latih Anak Dengan Doa Yang Sahih

TEKS : NORUDIN DRAMAN
FOTO : NORUDIN DRAMAN
(Entry #4)


Adalah menjadi sumbangan besar kepada umat Islam pada masa hadapan, sekiranya setiap ibu melatih anak dengan doa-doa yang sahih. Ibu boleh melatih anak dengan doa harian yang merupakan ayat Al-Quran dan hadis Nabi Muhammad (saw). 


Contohnya, doa yang dibaca oleh Nabi Muhammad (saw) ketika bangun tidur. Doa yang dirakam dalam hadis riwayat Imam Bukhari. Berikut saya kongsikan tiga tip untuk ibu didik anak dengan doa yang sahih sejak anak berusia satu hari sehingga lima tahun. Tahap ini adalah fasa pertama dalam pendidikan awal kanak-kanak menurut Jean-Jacques Rousseau (1712-1778). 

Tip nombor 1

Beritahu anak dahulu bahawa itu adalah apa yang Nabi Muhammad (saw) baca sewaktu Baginda bangun tidur. Jangan bawa anak menghafal dan bercerita sekaligus. Menurut falsafah Ibnu Khaldun, anak belum baligh diajar satu perkara pada satu masa. 

Aktiviti menghafal dilakukan pada sesi atau waktu lain. Semasa anak bangun tidur, bacakan doa bangun tidur. Pada usia satu hari sehingga dua tahun, ibu bacakan dan beritahu anak. Ini teknik hipnosis. Memang anak belum faham pada usia ini. Tugas ibu sebagai pendidik paling awal ialah memberi input kepada minda anak. Pada usia tiga tahun pula, Insya Allah anak sudah boleh dibawa menghafal doa.

Tip nombor 2

Pada usia satu hari hingga dua tahun, ketika anak bangun tidur, ibu bacakan doa bangun tidur. Kemudian ibu 'berbicara' dengan anak tentang Allah yang menghidupkan dan mematikan. Sesungguhnya ini adalah proses memberi input yang baik ke dalam minda anak.

Bermula usia tiga tahun pula, ibu sudah boleh berbicara dan bertanya kepada anak, "Ini doa siapa?". 

Didik anak dengan jawapan, "Ini doa Nabi ketika bangun tidur". 

Kemudian ibu tanya lagi, "Siapa nabi kita?".

Didik anak jawab, "Nabi Muhammad (saw).

Esok dan hari berikutnya 'ubah' dan dan ada harinya 'ulang semula'. Mungkin bukan setiap hari, boleh dua tiga hari sekali. Ia perlukan maklumat yang sangat asas dan sedikit kreativiti ibu. Proses ini sangat penting sebagai input awal. 

Ketika anak berusia enam dan tujuh tahun nanti, 'bicara bangun tidur' ini akan meningkat ke tahap seterusnya. Namun ulangan kepada input yang kita beri ketika anak berusia satu hari hingga dua tahun. (Kita bincangkan itu dalam entri yang lain, Insya Allah).

Tip nombor 3


Potong-potong doa menjadi perkataan pendek. Contoh Alhamdulillahilazi-ahyana-. Gunakan potongan-potongan tersebut untuk asa ajar bahasa Arab kepada anak. Contohnya, perkataan 'ahyana' dalam bahasa Arab maksudnya 'menghidupkan kami'.

Bermula anak berusia satu hari. (Tempoh pantang ibu masih boleh baca doa yang bukan ayat Al-Quran). Sehingga anak berusia 2 tahun, ibu perlu konsisten bacakan ke telinga anak apa yang ibu mahu anak hafal nanti setelah anak itu berusia tiga tahun ke atas. 

Ketika anak (usia satu hari hingga dua tahun) bangun tidur, bacakan doa bangun tidur, maksud terjemahannya, hadis riwayat imam hadis bernama siapa dan potongan-potongan perkataan untuk asas belajar bahasa Arab kepada anak.

Pentinganya input awal ini ialah, supaya anak mesra dengan perkataan bahasa Arab yang merupakan bahasa Al-Quran. Nantinya, bila tiba masa untuk mengajar anak membaca Al-Quran, bunyi bahasa Arab ini tidak lagi menjadi sesuatu yang asing kepada anak. Walaupun anak tidak faham bahasa Arab tetapi bunyi bahasa Arab sudah terbiasa pada pendengarannya.

Apa penting ajar anak dengan doa dalam hadis sahih?

Ini adalah sumbangan paling besar dari kaum ibu dan suri ummah kepada umat Islam pada masa hadapan. Insya Allah kita akan bincang lebih lanjut lagi pada artikel seterusnya. 

Sebagai penutup artikel ini, percayalah puan suri ummah. Ketika umur anak 1 hari sehingga lima tahun adalah masa untuk beri sebanyak-banyak input kepada anak. Namun, pastikan input itu tersusun, baik dan benar. 

Input ini akan menjadi database yang memudahkan pendidikan dan pembentukan sahsiah anak pada peringkat seterusnya, iaitu:
i)   6-10 (pra-baligh
ii)  11-15 (awal baligh)
iii) 16-18 (remaja)
Betapa pendidikan awal anak pada usia satu hari sehingga lima tahun adalah fasa yang sangat penting dalam proses pendidikan dan pembentukan sahsiah anak; dan ini adalah sumbangan paling besar dari seorang insan bergelar ibu. Ibu sebagai guru pertama seorang insan muslim dan muslimah.

Tiada ulasan: