Ahad, Mei 17, 2015

Kita Perlukan 'Mata' Orang Lain

TEKS : NORUDIN DRAMAN
FOTO : NORUDIN DRAMAN
(Entry #12)
(Beg ini saya tertinggal di kedai makan tadi)
Hari ini hari minggu. Saya keluar rumah sejak waktu zuhur. Sengaja mencari angin menulis di luar rumah. Selepas solat zuhur, saya makan tengah hari di sebuah restoran makanan segera sambil menulis di notebook. Jadi, saya bawa noteboook sekali. Kebiasaan saya juga, setiap kali keluar rumah saya akan bawa bersama passport, salinan geran kereta (di Brunei dipanggil 'blue card' di Sarawak kami panggil 'green card') dan pass sempadan kereta.

Restoran makanan segera ini pilihan saya jika mahu makan sambil buat kerja. Jarang ramai orang walaupun hari minggu. Saya selalu juga menulis di sini. Kawasan ini boleh dikira bukan kawasan tumpuan. Agak jauh dari bandar. Cuma mungkin jadi komersial sebab ia kawasan 'laluan'. Malah terletak tidak jauh dari sempadan Brunei dengan Limbang, Sarawak.

Hampir waktu asar, saya solat di sebuah masjid. Saya pilih masjid Kampung Pangkalan Batu sebab lepas asar saya mahu 'rehat-rehat' di Taman Rekreasi Parit yang tidak jauh dari masjid itu. Kisah saya di masjid dan di taman ada saya kongsikan dalam facebook peribadi saya. 

Dalam entri ini saya terpanggil untuk berkongsi sedikit 'kecuaian' saya tadi. Kisahnya begini.

Sebelum balik rumah, saya singgah di sebuah restoran makanan Indonesia. Teringin mahu makan mee Bandung. Selesai makan, saya ambil masa yang agak lama untuk keluar dari kawasan restoran itu kerana tempat letak kereta yang sempit. Kereta saya pula dihimpit kiri kanan oleh kereta yang lebih besar (pacuan empat roda, sebuahnya berplat pendaftaran SS - Sabah).

Setelah memandu sampai di jambatan yang tidak jauh dari restoran itu, baru saya teringat dengan beg saya yang dalam gambar di atas. Allahu Rabbi. Dalam itu ada notebook, passport, salinan geran kereta, pass sempadan kereta, sebuah telefon bimbit nombor Malaysia dan buku catatan harian ABDR.

Alhamdulillah. Kembali ke restoran tersebut beg saya selamat di kaunter bayaran. Rupa-rupanya tadi masih tertinggal di kerusi. Alhamdulillah. Mujur ada pelanggan lain yang duduk tidak jauh dari meja saya tempat saya makan tadi yang nampak beg saya yang tertinggal itu. Beliaulah yang memberi beg itu kepada pekerja restoran. 

Saya bersalam dan ucap terima kasih kepada pelanggan yang baik hati itu. Dari gaya penampilan beliau, saya rasa beliau seorang anggota polis tetapi tadi saya agak malu dan cemas lalu tidak berkenalan dengan beliau.

Selepas itu, masa memandu balik ke rumah tadi saya berfikir; ada masanya kita perlukan 'mata orang' lain. Sebagai insan, akal dan penglihatan kita terbatas. Kisah kecuaian saya tadi adalah contoh yang zahir. Dalam kehidupan kita juga, ada masanya kita perlukan 'mata' orang lain. Begitu juga dalam mendidik anak.

Ada masanya, (sekadar pengalaman kecil dan sedikit saya); pasangan muda agak 'ego' dan 'cuai' dalam pendidikan anak. Kadang pasangan muda tidak suka menerima nasihat dan teguran guru yang mengajar anak mereka. Malah, ada pasangan muda yang tidak suka ibu bapa mereka menegur cara mereka mendidik anak.

Kita perlu mengaku, ada masanya kita perlukan 'mata' orang lain untuk 'melihat belakang baju' atau 'belakang seluar' kita kusut atau tidak, bersih atau kotor kerana ada masanya tengok cermin sekalipun kita tidak dapat nampak kotor atau koyak di belakang seluar atau baju kita. 

Ada masanya, 'mata' orang lain yang nampak bahaya di hadapan, tepi atau belakang kita. Syukurlah, jika mereka memberitahu kita dan menyelamatkan kita daripada bahaya yang kita tidak nampak.

Sebenarnya, dua minggu lepas saya tertinggal telefon bimbit di tandas sebuah masjid. Alhamdulillah. Ketika saya kembali ke tandas itu, telefon bimbit saya itu masih selamat daripada 'mata jahat'.

Saya kira sebagai kesimpulannya...
Ada masanya kita perlukan 'mata' orang lain,
banyak masanya kita perlu berjaga-jaga
daripada 'mata' orang lain,
dan setiap masa kita perlu perlindungan Allah
daripada 'mata jahat' manusia dan makhluk lain.

2 ulasan:

Siti Badariah Baharin berkata...

alhamdulillah..nasib baik begnya masih ada di situ..

semoga ada 'mata-mata lain' yang akan menegur saya dalam hal mendidik anak-anak dan hal-hal lain juga...

norudindraman berkata...

Alhamdulillah. Syukur sangat Puan. Ikutkan orang yang nampak tu duduk agak jauh dari tempat saya.

Dalam beg tu jugak kunci spare dan ubat asma saya.