Ahad, Mei 24, 2015

Hiburan Zaman Kanak-kanak

TEKS : NORUDIN DRAMAN
FOTO : NORUDIN DRAMAN\
VIDEO: YOUTUBE
(Entry #24)
Sejak kanak-kanak, hari minggu ada 'bau' dan 'rasa' yang tersendiri bagi saya. Saya ingat lagi, semasa kanak-kanak dulu, jika hari minggu itu seronok dan best, saya akan rasa sayang dan berat hati untuk mula bersekolah semula pada hari Isnin berikutnya. Terutama jika saya bermalam di rumah nenek atau rumah sepupu. Berat rasa untuk berpisah dengan hujung minggu.  
Berbeza pula pada hari Jumaat. Jika hari Jumaat itu saya melalui masa yang menyeronokkan di sekolah, saya akan berat hati untuk bercuti pada hujung minggu. Hehe, macam-macam saja kita pada waktu kanak-kank ya;-)
(Petikan daripada artikel blog peribadi saya 'Jurnal Online UstazCahaya'. Artikel bertajuk 'Hiburan Pada Zaman Kanak-kanak Saya' yang diterbitkan di www.ustazcahaya.com pada Ahad, 31 Januari 2010. KLIK SINI untuk baca artikel tersebut.)
Dalam entri ini, saya ingin menarik perhatian ibu bapa kepada dua perkara berikut yang berkaitan dengan hari minggu, iaitu:
1. Hiburan mempengaruhi anak pada waktu semasa 
2. Kenangan mempengaruhi anak ketika sudah dewasa
Hiburan mempengaruhi anak pada waktu semasa

Saya terkenang zaman kanak-kanak saya dahulu, bila selepas menonton satu-satu cerita itu, tidak sah jika tidak berangan untuk menjadi seperti dalam cerita yang ditonton itu. Kembali ke sekolah pada hari Isnin, kawan-kawan di sekolah juga sama. 

Dahulu, masa saya kanak-kanak di televisyen RTM 2 (masa dulu hanya ada RTM TV1 dan TV2); kadang-kadang menayangkan filem kungfu seperti Drunken Master. Jadi, keesokannya hari Isnin. saya dan kawan-kawan sekolah ramailah yang jadi 'Drunken Master'. Hehe.

Sehingga kini, fenomena ini masih berlaku di kalangan kanak-kanak di sekolah. Mood, tingkah laku dan emosi kanak-kanak dipengaruhi oleh apa yang dilaluinya pada hari minggu. Pengalaman saya sendiri; ada murid-murid perempuan yang bermain 'bersanding' kerana pada hari minggunya mereka mengikut ibu bapa ke kenduri kahwin. 

'Main bersanding' tentulah tidak apa-apa; tetapi bayangkan jika mereka 'olok-olok' dengan 'perbuatan orang dewasa' yang dilihat mereka pada hari minggu? 

Kenangan mempengaruhi anak ketika sudah dewasa

Jika hiburan dan aktiviti hujung minggu mempengaruhi kanak-kanak sehingga pada hari Selasa atau Rabu pada minggu persekolahan berikutnya; setelah dewasa pula, hiburan dan aktiviti hujung minggu menjadi kenangan kepada kanak-kanak. 

Betul ke bohong?

Saya dan anda sudah melaluinya bukan? Antara kenangan yang selalu kita terkenang kembali ialah kenangan pada waktu hujung minggu. Ayah dan ibu saya sendiri juga begitu. Mereka selalu juga teringat kenangan mereka pada waktu hujung minggu.

Kadang-kadang saya terkenang beberapa memori sewaktu hadir ke kenduri pada zaman kanak-kanak dahulu. Bagaimana ibu bapa saya menjaga saya agar beradab dalam majlis kenduri atau ketika beraktiviti bersama-sama keluarga yang lain.

Sebagai ibu bapa, termasuk tanggungjawab kita juga untuk memberi anak-anak kenangan manis yang akan mempengaruhi mereka pada waktu dewasa. Contohnya saya sendiri, terkenang bagaimana ibu bapa dan adik beradik mereka menggunakan hujung minggu untuk saling berkunjung dan melakukan aktiviti bersama.

Kesimpulannya, adalah perlu untuk kita sebagai ibu bapa merancang dan menjaga 'hari minggu' bersama anak-anak. Ambillah kesempatan hari minggu yang santai tetapi 'berpengaruh' kepada kanak-kanak; untuk menerapkan nilai-nilai baik dalam diri anak.


Inilah antara hiburan pada zaman kanak-kanak saya. Saya akui, ada unsur-unsur negatif dalam hiburan zaman kanak-kanak saya ini; namun bila difikir semula, sekurang-kurangnya pada zaman dahulu unsur negatif dalam hiburan agak terkawal dan diimbangi oleh pendidikan moral yang positif dalam hiburan-hiburan itu.

Berbeza dengan hiburan masa kini. Ada antara hiburan kanak-kanak masa kini, bukan sahaja sarat unsur negatif, malah langsung tidak ada diselitkan nilai positif.





Tiada ulasan: