Jumaat, Mei 22, 2015

Didik Anak Solat (Dari Cara Sultan Brunei Laksana Hudud) - Bahagian Satu

TEKS : NORUDIN DRAMAN
FOTO : Kementerian Pertahanan Negara Brunei Darussalam
(Entry #19)


(Taklimat bertajuk 'Perlaksanaan Kanun Jenayah Syariah' )


Cara Sultan Brunei Laksana Hudud

1. Beri kemudahan kepada rakyat untuk solat Jumaat dengan menjadikan hari Jumaat sebagai cuti umum.

2. Atasi kesusahan dan halangan untuk rakyat solat Jumaat dengan arahan (titah Ke Bawah Duli Sultan Brunei) agar semua premis perniagaan tutup dari jam 12.00 tengah hari hingga jam 2.00 petang.

3. Kuatkuasa hukum takzir untuk majikan yang tidak beri kelepasan kepada pekerja untuk solat Jumaat. 

4. Kuatkuasa hukum takzir untuk muslim yang tidak solat Jumaat.

Dalam entri ini, saya ingin berkongsi cerita tentang Negara Brunei Darussalam. Bagaimana usaha Sultan Brunei, iaitu Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzadin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Omar 'Ali Saifuddien; melaksanakan hukum Allah di Negara Brunei Darussalam.

Alhamdulillah. Tahun lepas saya ikut roadshow penerangan 'Perintah Kanun Jenayah Syariah Brunei' bagi sekolah dan institusi pendidikan.

Dalam roadshow itu saya akui bahawa saya dan ramai kita cakap tentang hudud; tetapi rupa-rupanya, kita belum faham 'Kanun Jenayah Syariah'. Hudud adalah satu bahagian dalam 'Kanun Jenayah Syariah'. Tiga lagi bahagian yang lain ialah qisas, diyat dan takzir. Negara Brunei belum laksana hudud, qisas dan diyat. Brunei baru mula laksana hukum takzir. 

Apa itu hukum takzir? 

Takzir ialah undang-undang yang dibuat oleh pemerintah (Sultan dan kerajaan Brunei) bagi jenayah yang tidak termasuk dalam hukum hudud, qisas dan diyat. 

Berikut adalah dua daripada hukum takzir yang sudah dilaksanakan di Negara Brunei Darussalam:

1. Hukum Takzir Tidak Solat Jumaat

Ini adalah satu daripada perlaksanaan hukum takzir di Brunei. Ia begini. Solat Jumaat adalah kewajipan bagi lelaki muslim dan jika muslim tidak solat Jumaat adalah merupakan kesalahan (jenayah) dalam Islam. Namun, dalam hudud tidak ada hukuman khusus untuk jenayah tidak solat Jumaat. 

Jadi, untuk jenayah seperti ini, pemerintah wajib buat undang-undang sendiri. Contohnya, Sultan Brunei buat hukum takzir untuk lelaki Islam yang tidak solat Jumaat yang dikuatkuasakan pada 1 April 2014. 

Bermula dari tarikh itu, tidak solat Jumaat dianggap 'jenayah syariah yang berhak diberi hukuman' di Negara Brunei Darussalam. Hukumannya berbentuk denda, iaitu bayar B$250 kepada kerajaan untuk kesalahan pertama.

Namun, Sultan Brunei tidak buat undang-undang ini cara mengejut. Sebelum hukum takzir ini dilaksanakan Baginda Sultan terlebih dahulu menguatkuasakan hukum takzir nombor 2 berikut;

2. 'Tutup Kedai' jam 12 tengah hari
hingga jam dua petang setiap hari Jumaat

Dua tahun sebelum laksana hukum takzir untuk kesalahan (jenayah) tidak solat Jumaat; iaitu bermula 1 April 2012, Sultan Brunei kuatkuasakan satu undang-undang takzir terlebih dahulu, iaitu 'perintah tutup semua premis perniagaan dari jam 12.00 tengah hari hingga jam 2.00 petang pada setiap hari Jumaat'. 

Perintah (Kanun Jenayah Syariah) ini dilaksanakan untuk beri kemudahan kepada lelaki Islam ke masjid, untuk kurangkan kesesakan trafik dan untuk jaga kesucian agama Islam.

Selepas dua tahun perintah itu berjalan, dan belum ada yang kena jatuhkan hukuman (denda) berkaitan; baharulah baginda Sultan Brunei kuatkuasa hukuman takzir untuk orang tidak solat Jumaat bermula 1 April 2014. Hukumannya ialah denda, iaitu bayar B$250 kepada kerajaan untuk kesalahan pertama.

Alhamdulillah setakat hari ini, saya belum dengar atau nampak lelaki Islam ditangkap dan dikenakan hukuman untuk kesalahan ini. 

Insya Allah, dalam bahagian dua entri ini kita akan cuba mengaitkan cara Sultan Brunei laksana hukum Allah di negara Brunei dengan usaha kita mendidik anak-anak tentang Islam di rumah.

Jika negara ibarat keluarga,
rakyat adalah anak-anaknya,
Raja adalah ayah mereka.

Daulat Tuan Patik,
Allahu Akbar!

Tiada ulasan: