Khamis, Mei 14, 2015

Cara Kreatif Ajar Anak Dengan Doa Nabi Musa

TEKS : NORUDIN DRAMAN
FOTO : NORUDIN DRAMAN
(Entry #7)




Saya pernah menulis di blog ini tentang kemalangan yang saya alami sewaktu saya berusia tujuh tahun. Kemalangan yang berlaku pada tahun 1987. Kisah tentang kaki kiri saya patah disebabkan kemalangan tersebut yang berlaku ketika saya mahu pergi mengaji Al-Quran di rumah arwah datuk saya. Boleh KLIK SINI untuk baca kisah tersebut. 

Majoriti kita hafal doa Nabi Musa sejak kanak-kanak

Insya Allah, saya percaya ramai antara kita sudah hafal doa Nabi Musa (as) sejak kita kanak-kanak. Saya sendiri hafal doa tersebut sejak kecil ketika saya mengaji Al-Quran dengan nenek dan arwah datuk saya. Nenek saya, Alhamdulillah masih hidup. Nenek dan arwah datuk adalah guru Al-Quran pertama saya.

Namun, nenek dan arwah datuk tidak memberitahu saya bahawa doa tersebut adalah doa Nabi Musa. Kemudian setelah saya menjadi guru Al-Quran, saya ubah sedikit cara nenek dan arwah datuk. Saya beritahu kepada murid-murid bahawa doa penerang hati tersebut adalah doa Nabi Musa (as). 

Insya Allah, para ibu boleh cuba cara saya ini. Saya kongsikan di sini, bagaimana menggunakan doa Nabi Musa bersama kreativiti dalam usaha mendidik anak.

Beritahu anak bahawa doa tersebut adalah doa Nabi Musa

Ini langkah paling awal sekali. Beritahu anak kita bahawa doa penerang hati ini adalah doa Nabi Musa (as). Ceritakan kepada anak serba sedikit tentang Nabi Musa. Contoh yang kreatif, bawa anak 'melancong' (guna google map je pun ;)). Menggunakan kemudahan internet, bawa anak ke Mesir tengok piramid, laut merah dan tempat-tempat bersejarah di Mesir. Jika boleh bawa anak melancong ke Mesir, tentulah merupakan satu rezeki dan nikmat yang besar.

Kanak-kanak suka cerita yang begitu. Pengalaman saya sendiri. Saya teruja ketika nenek dan arwah datuk saya bercerita tentang Nabi Musa (as) yang membelah laut. Cerita tentang orang zaman Nabi Musa (as) yang bertubuh besar dan tinggi.

Para ibu boleh ceritakan kepada anak tentang laut terbelah. Bawa anak tengok laut yang pernah terbelah itu di laman YouTube. Pada masa yang lain pula, ceritakan kepada anak tentang teknologi roda yang digunakan pada zaman firaun untuk tolak batu besar dalam proses pembinaan piramid. Sekali lagi bawa anak melancong dengan Google dan Youtube. 

Kaedah ini sesuai dengan falsafah pendidikan anak menurut Ibnu Khaldun iaitu, "anak belajar menggunakan pancaindera dengan disertakan contoh yang mudah dan konkrit". Dalam entri ini contohnya, kita ajar anak tentang doa Nabi Musa (as). Jadi, apakah contoh yang mudah dan konkrit tentang Nabi Musa (as) untuk kita tunjukkan kepada anak? Tentunya laut terbelah, piramid dan negara Mesir.

Doa Nabi Musa (as) adalah database

Apa yang saya katakan itu, hanya contoh. Proses mendidik anak adalah proses yang panjang. Kita tidak didik anak dalam sehari dua. Pendidikan anak adalah proses berterusan dan berpanjangan. Tempoh pendidikan awal anak sahaja dari umur satu hari hingga enam tahun.

Doa Nabi Musa (as) dan sedikit sebanyak maklumat tentang Nabi Musa (as) adalah input yang bakal menjadi 'database' dalam minda anak. Apabila sudah ada 'database' dalam minda anak tentang Nabi Musa (as), nanti pada hari mendatang pada waktu tertentu kita boleh 'recall' dan tambah. 

Contoh mudah, sejak kecil sebelum masuk sekolah anak sudah diberi input doa Nabi Musa (as), kisah Nabi Musa (as) dan lain-lain yang berkaitan. Bila masuk tadika dan anak mula belajar di sekolah mula ada homework. Kemudian anak ada rasa susah. Bantu anak mudahkan apa yang susah tu. Kemudian selit dengan kisah piramid bagaimana roda kecil yang bulat mampu mengalihkan bongkah batu yang besar.

Jadi sejak usia dua tahun lagi anak sudah dilatih dan dibentuk dengan:
1. Doa yang sahih. 
2. Kisah Nabi 
3. Motivasi hidup yang Islamik. 
4. Selesaikan masalah dengan Al-Quran.
Sejak anak lahir hingga umur lima tahun adalah waktu beri input, input dan input. (* Teori Jean-Jacques Rousseau,  1712-1778). Justeru, kita sebagai ibu bapa muslim, sepatutnya beri anak input yang baik dan benar. Pada peringkat seterusnya dengan input ini kita didik anak cinta Al-Quran, mesra Al-Quran, cari penyelesaian dengan Al-Quran baik secara langsung, tidak langsung, refleks, perkaitan atau kiasan.


Doa Nabi Musa
(Doa Penerang Hati)


قَالَ رَبِّ اشْرَحْ لِي صَدْرِي وَيَسِّرْ لِي أَمْرِي

وَاحْلُلْ عُقْدَةً مِنْ لِسَانِي يَفْقَهُوا قَوْلِي


Musa berdoa;
"Wahai Tuhanku, lapangkan dadaku,
dan mudahkan urusanku,
dan lembutkan lidahku,
supaya mereka faham percakapanku”.

(Al-Quran, Surah Taha: ayat 25-28)

Tiada ulasan: