Rabu, Mei 13, 2015

Anak Ibarat Botol Air Tupperware

TEKS : NORUDIN DRAMAN
FOTO : www.facebook.com/suez.tupperware.online
(Entry #5)



(Gambar hiasan: Botol air minuman Tupperware)

Anak ibarat kain putih
Dalam sebuah hadis Rasulullah (saw) bersabda yang bermaksud:
“Setiap bayi yang dilahirkan adalah suci fitrahnya. Ibu bapalah yang menjadikan mereka Yahudi, Nasrani mahupun Majusi.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)


Insya Allah, saya pasti anda pembaca pernah mendengar hadis Nabi Muhammad (saw) tentang anak ibarat kain putih yang diriwayatkan oleh dua imam hadis besar iaitu Imam Bukhari dan Imam Muslim. Juga, para ibu dan suri ummah pasti sangat kenal dengan apa yang dipaparkan dalam gambar di atas iaitu produk botol minuman jenama Tupperware. Jenama yang sudah pasti popular di kalangan para ibu.

Insya Allah, dalam entri ini saya ingin berkongsi kias ibarat ibu dan anak dengan botol minuman. 

Anak,
umpama sebiji botol. 
Baik buruk, dosa pahala, manfaat mudaratnya;
bergantung kepada air apa yang ada dalam itu botol. 

Pertama,
air apa dalam itu botol?

Ibu dan bapa adalah guru pertama anak. Boleh dikatakan semua pakar pendidikan awal kanak-kanak sepakat mengatakan pendidikan anak bermula dari saat anak itu dilahirkan.

Kedua,
air dalam botol adalah antara bekalan perlu dalam sebuah perjalanan.

Anak adalah amanah bagi ibu dan bapa. Malah dalam sebuah hadis dikatakan selepas mati anak Adam semua amalannya putus kecuali tiga; salah satunya ialah 'doa anak yang soleh yang mendoakan mereka'.

Malah sebagai guru pertama anak, ibu dan bapa mendapat keistimewaan kedua dari hadis tiga amalan yang tidak putus tersebut, iaitu 'ilmu bermanfaat yang diamalkan'. Bermakna, setiap ilmu yang bermanfaat yang kita ajarkan kepada anak dan anak amalkan juga dianggap sebagai ilmu bermanfaat yang kita ajarkan kepada orang lain yang hitungan amalan baiknya tetap berjalan selepas kita meninggal dunia.

Ketiga,
label dan rupa paras botol.
Siapakah yang berani minum air teh yang disimpan dalam botol clorox? 

Tanggungjawab awal ibu dan bapa juga adalah untuk membentuk 'imej' dan 'penampilan' anak. Dari awal sudah anak dibentuk dengan imej, penampilan dan fesyen yang dibenarkan, yang sesuai, yang baik dan tidak menyalahi syarak.

Lebih mudah membiasakan anak dengan perkara yang baik daripada menegur dan mendidik anak yang sudah menganggap biasa kepada perkara yang tidak baik. Ibarat kata pepatah 'lebih mudah mencegah daripada mengubati'.

Keempat,
anak ibarat air putih; apa yang dicampurkan ke air itulah
yang bakal menjadikan air itu air apa. 
Jika dicampur juz oren, jadilah minuman penawar dahaga.
Jika dibubuh racun, jadilah air itu sesuatu yang merbahaya. 

Begitu juga anak. Sejak umur satu hari sehingga umur 10 tahun adalah umur 'air putih' bagi anak tersebut. Seeloknya, sebelum masuk pra-persekolahan, ibu dan bapa memberi dan memasukkan sebanyak mungkin input-input yang baik, benar dan perlu kepada anak.

Sebagai menutup entri ini, saya kongsikan di sini satu mesej yang dikongsi (forward) oleh rakan dalam grup Telegram.



Botol air:
Isi di dalamnya yang membezakan harganya

Botol...

1. Kalau diisi air mineral, harganya RM1.

2. Kalau diisi jus buah, harganya RM8.

3. Kalau diisi Madu Yaman, harganya RM200.

4. Kalau diisi minyak wangi odd, harganya RM1000.

5. Kalau diisi air longkang, ianya akan dibuang dalam tong sampah kerana langsung tiada harga dan tiada siapa yang suka.

Botol yang sama tetapi harganya berbeza sebab apa yang menjadi isi di dalamnya adalah berbeza.

Begitu juga kita. Kita semua sama. Kita semua manusia. Yang membezakan kita antara satu sama lain adalah IMAN & AMAL.

Tiada ulasan: