Sabtu, Mei 16, 2015

Aq-Sudoku: Kenangan Al-Quran Bersama Dedek

TEKS : NORUDIN DRAMAN
FOTO : NORUDIN DRAMAN
(Entry #9)

(Kad Hari Guru yang saya buat untuk Dedek - adik bongsu saya-
pada tahun pertama dia di Tadika Al-Quran, tahun 2009)
Hari ini 16 Mei 2015. Tarikh meraikan insan mulia bergelar guru di tanahair Malaysia. Sementara di Negara Brunei Darussalam pula, hari guru disambut pada 23 September. Alhamdulillah, sejak berhijrah ke Negara Brunei, saya menyambut hari guru dua kali setahun. :)

Ramai tidak menyangka, ketika saya berusia 24 tahun (tahun 2004), ibu saya melahirkan seorang lagi adik. Pada waktu itu, anak ke-empat dalam kami adik-beradik berusia 16 tahun. Adik bongsu itu saya beri nama Asma Al-Husna. Dalam keluarga kami dia dipanggil Dedek. Gambar kad hari guru di atas adalah kad hari guru yang saya buat untuk adik bongsu saya yang kami panggil Dedek itu.

Dalam entri ini, saya kongsikan tiga cara saya mengajar Dedek Al-Quran sejak awal usia adik kesayangan saya itu. Alhamdulillah, sekarang pada usia 11 tahun, adik bongsu saya ini sudah boleh membaca Al-Quran dengan lancar. Malah, selalu mendapat hadiah dalam kelas KAFA. Sejak awal tahun ini, Dedek aktif menghafal nama-nama hukum tajwid dengan saya melalui kemudahan Whatsapp dan Skype.

1. Ajar Dedek ajuk doa

Seingat saya, sejak Dedek dibawa balik ke rumah kami setelah ibu melahirkan dia; saya sudah membacakan kepada Dedek doa bangun tidur dan doa tidur. Kemudian, setelah dia pandai mengajuk cakap saya, saya latih Dedek mengajuk doa yang saya baca.

Dalam beberapa entry yang lalu saya tulis tentang memberi input awal kepada bayi. Alhamdulillah, walaupun saya belum menimang bayi sendiri, sekurang-kurangnya saya ada dua pengalaman memberi input awal kepada bayi. Seorang bayi itu ialah adik bongsu saya sendiri Dedek dan adik sepupu saya yang kami panggil Adol (anak kepada adik bongsu ibu saya). Adol yang sama usia dengan Dedek, selalu berada di rumah keluarga kami ketika dia bayi dan masih kecil.

Alhamdulillah, Dedek dan Adol sangat mudah menerima ilmu Al-Quran dan pelajaran agama. Sehingga kini saya selalu mengambil tahu pencapaian Adol (adik sepupu saya) itu di sekolah sama seperti saya memantau pencapaian persekolahan adik bongsu saya, Dedek.

(Adik bongsu saya Asma Al-Husna yang kami panggil Dedek)
2. Ajar Dedek nama huruf dan bunyi-bunyi huruf

Bermula usia Dedek dua tahun, saya mengajar Dedek dan Adol kenal nama huruf dan bunyi-bunyi asas setiap huruf tunggal Al-Quran. Contohnya:

Huruf Hijaiyah 'Alif'

"Alifun - Alif"
"A"
"I"
"U"
"AN"
"IN"
"UN"

Alhamdulillah, ketika mula saya mengajar Dedek mengaji dengan buku Iqra 1, tidak sukar untuk saya kenalkan huruf hijaiyah berbaris kepada Dedek. Juga, mudah untuk memberitahu Dedek nama-nama huruf Al-Quran.

Kekurangan kaedah Iqra bagi saya, dan malah kebanyakan guru Al-Quran juga mengakui yang sama; kaedah Iqra tidak memperkenalkan nama huruf kepada murid. Sedangkan kenal nama huruf adalah asas pertama dalam pelajaran Al-Quran.

Oleh sebab itu, cara saya mengajar mengaji saya kenalkan nama huruf dahulu kepada murid. Jika murid memilih menggunakan kaedah Iqra, saya ajarkan nama huruf bersama Iqra 1. Contohnya pada muka surat 1 dan 2 buku Iqra 1 saya ajarkan nama huruf 'alif' dan 'ba' kemudian saya ajarkan bahawa 'alif' + 'baris ini' (fathah/ atas) bunyinya 'a'.

(Saya dan Dedek pada bulan Disember tahun 2014 di Negara Brunei Darussalam)
3. Mencuba Aq-Sudoku bersama Dedek

Sebenarnya saya buat puzzle Aq-Sudoku ini untuk Dedek dan Adol. Saya membuat beberapa set puzzle (latihan berkaitan Al-Quran) ketika Dedek berusia tiga tahun (tahun 2007). Latihan itu saya namakan Aq-Sudoku. Berikut saya kongsikan beberapa gambar puzzle Aq-Sudoku yang dibuat oleh Dedek (adik bongsu saya) dan Adol (sepupu saya).

Kemudian set puzzle Aq-Sudoku saya gunakan di sekolah agama rakyat Madrasah Al-Islamiyyah Darul Ulum (MADU), Cawangan Kampung Jepak, Bintulu. tempat saya mengajar Al-Quran dari tahun 2007 hingga 2009.

(Puzzle Aq-Sudoku yang saya buat sejak tahun 2007)
(Saya tidak pasti ini yang dibuat oleh Dedek atau Adol.
Terlupa tulis nama mereka pada latihan mereka yang saya scan)
(Saya tidak pasti ini yang dibuat oleh Dedek atau Adol. 
Terlupa tulis nama mereka pada latihan mereka yang saya scan)
(Jika saya tidak salah ingat, latihan Asma-Sudoku ini
dijawab oleh sepupu saya Mohammad Akmal - tahun 2009)
(Jika saya tidak salah ingat, latihan Asma-Sudoku ini 
dijawab oleh sepupu saya Mohammad Akmal - tahun 2009)
Insya Allah, pada masa akan datang saya akan kongsikan permainan puzzle Aq-Sudoku di blog ini. 

Jika saudara yang membaca blog ini ada soalan atau perkongsian yang mahu disampaikan kepada saya, boleh gunakan ruang komen di bawah post ini.

Boleh juga gunakan saluran komunikasi saya yang berikut:

Whatsapp dan Telegram:
+6737208462 (nombor Brunei)

Email: 
ustazcahaya@gmail.com
norudindraman@gmail.com

Inbox Facebook: 

Skype:
ustazcahaya

Tiada ulasan: