Khamis, Mei 14, 2015

Ajar Bayi Doa Ibu Bapa Sejak Berusia Satu Hari

TEKS : NORUDIN DRAMAN
FOTO : NORUDIN DRAMAN
(Entry #6)



Doa Untuk Ibu Bapa
Firman Allah SWT:
وَاخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ الذُّلِّ مِنَ الرَّحْمَةِ وَقُلْ رَبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا
"Dan rendahkan dirimu terhadap kedua-duanya (ibu bapa) dengan penuh kasih sayang dan ucapkan; 'Wahai Tuhanku, sayangilah kedua-duanya sebagaimana mereka berdua telah menyayangi aku pada waktu kecil'."

(Al-Quran, Surah Al-Isra : Ayat 24)

Pakar pendidikan awal kanak-kanak sepakat mengatakan bahawa pendidikan awal kanak-kanak bermula sejak anak berumur satu hari. Justeru, ayat 23 dan 24 dalam Surah Al-Isra, patut menjadi antara hafazan paling awal untuk bayi kita.

Di sini saya berkongsi tiga tip berkaitan ayat 23 dan 24 dalam Surah Al-Isra yang boleh diamalkan oleh ibu bapa kepada bayi mereka. Malah patut diamalkan sejak hari pertama bayi lahir.

Tip nombor 1

Bacakan di telinga anak ayat 23 dan 24 dalam Surah Al-Isra dan terjemahan sejak anak lahir. Seeloknya, ibu bapa sudah hafal ayat tersebut.

Tip nombor 2

Bilakah waktu paling sesuai dan paling 'power' untuk membaca ayat-ayat itu di telinga bayi?

Menurut pakar perkembangan otak bayi dan juga pakar hipnosis, waktu yang paling sesuai ada tiga, iaitu:
1. Waktu bayi baru lelap (tidur). 
2. Waktu bayi sedang nyenyak tidur. 
3. Waktu bayi baru bangun tidur.
Dalam tiga waktu tersebut, otak anak sedang berada dalam fasa gelombang alfa dan gelombang theta. Fasa otak dengan gelombang ini juga dikenali sebagai 'fikiran bawah sedar'. Menurut pakar perkembangan otak kanak-kanak, fasa gelombang alfa dan theta merupakan fasa di mana kanak-kanak belajar dengan cepat dan mudah menerima nasihat dan arahan yang diberikan kepada mereka.

Tip nombor 3

Ketika anak berusia awal satu tahun, anak sudah dapat mengajuk dengan (kebiasaannya) betul percakapan orang lain. Pada waktu ini, bacakan ayat 23 dan 24 dalam Surah Al-Isra dan latih anak ajuk. Bacakan ayat dan terjemahan. Insya Allah, ketika tiba masanya nanti, mudah untuk anak menghafal ayat-ayat tersebut.

Terjemahan ayat 23 dan 24 dalam Surah Al-Isra
“Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapa kamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang daripada mereka  atau kedua-dua mereka sampai usia lanjut dalam jagaan kamu, maka sekali-kali jangan kamu mengatakan kepada mereka perkataan ‘ah’ dan janganlah kamu bersikap kasar kepada mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang baik."

"Dan rendahkanlah dirimu terhadap kedua-dua mereka dengan penuh kasih sayang dan berdoalah, 'Wahai Tuhanku, kasihilah mereka sebagaimana mereka telah mengasihi aku pada waktu aku kecil'.”

Ayat 23 dan 24 dalam Surah Al-Isra ini adalah input dan persediaan awal kepada anak dalam usaha menjadikan dia anak yang soleh dan solehah. Bermula usia dua hingga empat tahun, ibu bapa sudah boleh melatih anak menghafal ayat ini. 

Kemudian seiring peningkatan usia anak, ibu dan bapa boleh gunakan dalil ini dalam proses mendidik dan menegur anak. Insya Allah, malah sehingga anak dewasa, input awal ini nanti boleh digunakan dalam komunikasi ibu bapa dan anak.

Saya percaya setiap ibu dan bapa menginginkan anak-anak yang soleh dan solehah. Begitu juga bagi setiap anak, Insya Allah setiap anak sebenarnya mempunyai hasrat naluri untuk menjadi anak yang soleh dan solehah. Bantulah anak menjadi soleh dan solehah dengan memberi anak input yang baik dan betul sejak hari pertama mereka lahir ke dunia yang penuh pancaroba ini.


Tiada ulasan: